Thursday, March 8, 2012
Cuci The Musical Last Kopek
Cuci The Musical Last Kopek (CTMLK) terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 2 Mac lalu sehingga 18 Mac ini. Teater muzikal ini adalah di bawah pimpinan pengarah Harith Iskander. Mengekalkan peneraju utamanya, iaitu Hans Isaac, Afdlin Shauki, Nabil dan Awie untuk musim ketiga sekaligus pementasan terakhir teater muzikal Cuci itu, sememangnya terbaik.
Pada 7 Mac lalu aku berkesempatan menyaksikan pementasan CTMLK di Istana Budaya. Aku tiba di perkarangan Istana Budaya jam 7.50 malam dengan cuaca hujan yang agak lebat. Disebabkan ada masalah teknikal akibat kilat, pementasan agak lewat dimulakan iaitu jam 9.00 malam. Penonton yang memenuhi ruang tempat duduk kelihatan tidak sabar menonton persembahan CTMLK bermula.
CTMLK dimulakan dengan persembahan gambar di skrin besar yang mengisahkan hubungan akrab adik beradik semasa kecil. Jika sebelum ini Harith Iskander turut sama terlibat dan melakonkan watak Wira di dalam musim yang pertama dan kedua, kini wataknya digantikan dengan Douglas Lim yang boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dengan baik. Pujian harus diberikan kepada Dauglas Lim kerana mampu membawakan watak dengan baik sehingga membuatkan penonton ketawa dengan aksi kelakar yang ditunjukkan.
Mengisahkan tentang empat saudara iaitu C'Tan, Khai, Fairil dan Jojo yang berusaha mengubah kehidupan mereka, sebagai pencuci bangunan. Mereka mempunyai satu hasrat yang sama, untuk menjadikan impian mereka menjadi realiti, mencuci menara berkembar Petronas, yang tinggi dengan saingan yang kuat dari pasukan Wira Maju. Misi utama mereka, untuk memenangi kontrak membersih bangunan KLCC menjadi impian utama hidup mereka. Dalam perjalanan untuk mencapai cita-cita tersebut pelbagai rintangan dihadapi mereka.
Meskipun jalan cerita yang sama dikekalkan namun hampir setiap malam, ada sahaja yang berubah dan diubah dialognya. Gandingan 4 orang teraju utama itu bersama pelakon wanita hebat iaitu Vanidah Imran yang membawa watak Siti Jasmin (C.J) bersama tenaga baru yang lain berjaya menyuntik semangat dan nafas segar sepanjang pementasan. Lakonan Dina sebagai setiausaha C.J juga masih bernyawa dan mampu mengeletek penonton. Turut diselitkan dalam dialog dalam CTMLK apabila mereka menyebut nama tempat Kuala Selangor, dan Rancangan NONA yang ada kaitan dengan Hans Isaac. Vanida Imran pula ada tersasul mengatakan makna "rematch" adalah "cuci semula" namun dia lantas membetulkannya dengan mengatakan "perlawanan semula". Hans Isaac juga tersasul menggunakan watak Afdlin Shauki sebagai adiknya.
Bagi saya, CTMLK ini memang terbaik dan sangat menghiburkan walaupun pernah menonton musim kedua tahun lalu. Aksi lawak spontan mereka di pentas berjaya menggeletek penonton untuk ketawa dari awal hingga tamat pementasan. Kepada yang belum menyaksikannya, jangan lepaskan peluang mendapatkan tiket bagi menonton CTMLK yang terakhir ini. Tiket-tiket untuk menyaksikan CTMLK boleh didapati di www.ticket2u.biz dan boleh dapatkan terus di kaunter tiket IB dengan variasi harga RM 53, RM 123, RM 163, RM 183, RM 203, dan RM 303. Anda juga boleh hubungi talian Hotline di 010-2102656.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment